Pages

Sunday, July 4, 2010

Tip Menghadapi Musibah..

Salam.
UNTUK mengelakkan tekanan ke atas sesuatu musibah, kita perlu melalui anjakan pola pemikiran. Dan perubahan pola pemikiran itu pernah disampaikan dan dicontohi oleh pelbagai ulama Islam. Berikut adalah sebahagiannya:
Pertama:
Apabila menghadapi musibah, selalu menjaga fikiran kita sepositif mungkin. Antaranya adalah dengan meyakini bahawa musibah ini adalah sebagai petanda bahawa Allah sedang menguji kita sebagai seorang mukmin. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud "Seorang mukmin laksana pokok tanaman, setiap kali angin lalu menghentamnya. Dan seorang munafik laksana tumbuhan padi, ia tidak akan dicabut melainkan ketika waktu menuai."
Juga meyakini bahawa Allah s.w.t sedang membersihkan dosa-dosa kita. Dalam kitab Muwatha dan Sunan al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud "Bala sentiasa menimpa diri anak-anak dan harta seorang Muslim atau Muslimah, sehingga ia mengadap Allah tanpa membawa dosa sedikit pun."
Apabila anda mengalami kecurian, cuba lakukan seperti yang diceritakan oleh Imam Al-Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin ini. Suatu ketika seorang lelaki soleh kehilangan wangnya. Setelah puas mencari, ia baru menyedari bahawa seseorang telah mencurinya. Ia segera berkata: "Semoga Allah memberkatinya. Mungkin dia lebih memerlukan wang itu daripada saya."
Kedua:
Apabila ditimpa musibah, perkara pertama yang mesti kita lakukan adalah membayangkan betapa besarnya nikmat yang Allah berikan, maka kita akan menghadapi musibah itu dengan hati yang tenang dan penuh keredaan.
Dalam hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya besarnya balasan sesuai dengan besarnya bala (dugaan). Dan sesungguhnya jika kita mencintai sesuatu kaum, ia akan menimpakan bala kepadanya. Sesiapa yang redha, maka ia akan mendapatkan keredhaan (daripada Allah). Dan barang siapa yang membenci, maka ia akan mendapatkan kebencian."
Suatu hari, seorang wanita solehah, isteri kepada Imam Fath al-Musili, tersadung sesuatu hingga patah kuku jari kakinnya. Beliau hanya tertawa melihat darah yang mengalir dari jarinya itu. Seseorang bertanya: "Tidakkah engkau berasa sakit?" Ia menjawab: "Kelazatan pahalanya mengalahkan kesakitan yang aku rasai."
Ketiga:
Hendaklah berfikiran luas dan mendalam terhadap sesuatu musibah dengan melihat daripada pelbagai segi dan sudut.
Suatu hari, ada seorang mengeluh mengenai kesusahan hidupnya kepada Muhammad bin Samak, seorang imam yang sangat zuhud. Ia mengeluh kerana dibebani hutang dan kesulitan mendapatkan wang.
Ibn Samak lalu bertanya kepadanya: "Berapakah wang yang engkau perlukan?" Ia menjawab: "Sepuluh ribu." Ibn Samak bertanya lagi: "Adakah kamu mahu memiliki wang sepuluh ribu dengan matamu hilang?" Si fakir menjawab: "Tidak mahu." Ulama itu berkata lagi: "Adakah kamu mahu memiliki wang sepuluh ribu tetapi lidahmu menjadi bisu?" Ia menjawab: "Tidak mahu." "Adakah kamu mahu memiliki wang sepuluh ribu namun kaki dan tanganmu terputus?" Sekali lagi orang itu menjawab: "Saya tidak mahu."
Ulama yang bijak itu lalu berkata: "Kamu memiliki sesuatu yang lebih berharga lebih daripada wang tiga puluh ribu, tetapi mengapa masih bersedih?"
(Sumber: Majalah Solusi Isu no 19)

0 comments: